Loading...
Anda di sini:  Laman Utama  >  Fokus  >  Remaja & Cinta  >  Current Article

Anatomi Remaja

By   /   April 28, 2012  /   No Comments

Mendidik remaja merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa. Seringkali ibubapa menitiskan air mata kerana gagal dalam mendidik anak-anak remaja mereka.

Saya, walaupun masih belum memiliki anak remaja namun pengalaman-pengalaman dalam mengendalikan program-program atau kem-kem remaja menyedarkan saya akan keunikan mereka.

Mereka (remaja) ini mempunyai dunia mereka sendiri dengan bahasa, nilai dan budaya mereka sendiri. Berinteraksi dengan remaja dengan mengabaikan hakikat ini adalah satu tindakan sia-sia yang akan menatijahkan kegagalan dan kekecewaan.

Oleh itu, kita perlu memahami dunia mereka terlebih dahulu supaya kita benar-benar dapat berinteraksi dengan jiwa mereka. Kita perlu ziarah dan menetap di dunia mereka untuk satu tempoh hingga kita dapat memahami bahasa, nilai dan budaya mereka sebelum kita melakukan sebarang tindakan untuk membetulkan mereka.

Penguasaan kita dalam bahasa mereka akan memudahkan kita memahami dan menghayati nilai dan budaya mereka. Semakin fasih kita berbahasa dengan bahasa mereka, semakin mudah untuk kita bergaul dan diterima sebagai ‘warga’ mereka dan barulah mudah untuk kita memahami nilai dan budaya mereka.

Sebahagian besar ibubapa dan pendidik melakukan kesilapan besar apabila mengandaikan mereka faham jiwa remaja hanya kerana merekapun pernah jadi remaja. Menjadi remaja di era 50an tidak sama dengan menjadi remaja di era 70an apatah lagi di era millinium ini. Menjadi remaja di era millinium sudah terlalu jauh berbeza dengan era=era sebelumnya.

Saidina Umar RA pernah menyebut “Didiklah anak kamu sesuai dengan zaman mereka”. Kalimah pendek ini memberi satu pengertian yang besar dan berharga. Perhatian utama dalam pendidikan bukan sekadar Iman, Akhlaq dan Ibadah semata-mata tetapi juga zaman (waqie’ semasa) di mana anak-anak kita berada.

Di era-era 50an, 60an dan 70an mungkin sebahagian besar remajanya berdepan dengan kemiskinan, kesusahan, survival hidup dan sebagainya. Kebanyakan keluarga tumbuh dan berkembang dalam keadaan serba sukar dan miskin. Tetapi secara fitrahnya, kesukaran dan kemiskinan ini menyatukan hati-hati anggota keluarga,; mereka saling bantu membantu dan ketika itu pula perkembangan masyarakat lebih berbentuk lokaliti atau masih menjadikan budaya setempat sebagai frem dalam mencorakkan pertumbuhan masyarakat. Mungkin ada remaja yang ingin mengambil jalan mudah dan pintas untuk hidup senang dengan melakukan rompakan dan sebagainya tetapi semua ini termasuk dalam ‘minority case’.

Di era Millinium ini cabarannya terlalu berbeza. Ketika berdepan dengan globalisasi (perkongsian maklumat dan budaya) remaja kita membesar tanpa sentuhan kasih sayang. Kemewahan dan kesibukan duniawi hasil dari cara hidup kapitalis menjadikan hati-hati anggota keluarga sering berjauhan. Kalau kemiskinan dan kekurangan mengasah jiwa manusia agar menjadi kental dan tabah… tetapi kemewahan menjadikan jiwa manusia lemah dan manja.

Saya suka mengambil analogi Prof Hamka berkaitan persekitaran dan perkembangan jiwa manusia, katanya “Ikan di sungai lebih baik dan sedap isinya dari ikan di kolam”. Ya, ikan di sungai hidupnya sentiasa menentang arus. Hari-hari yang ditempuhinya adalah perjuangan atau survival diri. Manakala ikan di kolam hari-hari yang dilaluinya adalah hari-hari libur, santai dan kerehatan kerana itu isinya hanyir dan tawar berbanding ikan di sungai. Kesusahan menjadikan pemikiran kita tajam dan jiwa lebih matang.

Ketika kehidupan terlalu menekan manusia akan lebih cenderung pada nilai-nilai asasi kehidupan. Perjuangan mereka ialah untuk kesatuan, kebersamaan dan kepentingan bersama. Sedangkan kesenangan dan kemewahan menyibukkan kita dengan keinginan dan impian yang lebih bersifat peribadi. Ibnu khaldun dalam kitabnya Muqaddimah pernah menyebut “ pemuda-pemuda yang lahir dan membesar dalam suasana yang sukar dan tertekan lebih memikirkan keperluan masyarakat dari keperluan diri sendiri manakala pemuda yang lahir dan membesar dalam suasana kemewahan lebih mengutamakan diri sendiri dari masyarakatnya”.

Zaman kita berada sekarang adalah zaman yang serba mewah dan senang. Kapitalis yang menjadi tapak untuk tumbuhnya institusi keluarga menyebabkan usaha-usaha pembinaan keluarga lebih cenderung kepada merebut kekayaan semaksimum mungkin. Sering kita lihat ibubapa yang terlalu sibuk dengan perniagaan dan pekerjaannya.

Saya tidak menyalahi ibubapa sepenuhnya; memang kita tertekan dengan sistem hidup yang tidak terbina di atas nilai-nilai keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Sistem Kapitalis sentiasa mengolah perlumbaan hidup di atas dasar kebendaan dan kesenangan duniawi. Yang kaya terus kaya, yang miskin terus miskin. Walaupun miskin dan papa namun perjuangan dengan nafas kapitalis itu garus terus berlangsung hingga menjadikan jiwa manusia rakus dan kasar, hati-hati mula terpecah-pecah. Tidak ada lagi rasa hormat dan simpati. Kesibukan menjadikan kita lupa peranan dan tanggungjawab kita yang hakiki.

Semua kesibukan ini menjadikan kita lalai dan sering meninggalkan anak-anak kita bersendirian. Untuk menebus kesalahan tersebut, kita gantikannya dengan nilai kapitalis iaitu ‘wang’ dan ‘kemewahan’. Apa saja yang diminta, kita akan penuhi atas nama ‘ganti rugi’ kerana kita tidak ada banyak masa untuk mereka. Kita merasakan seolah-olah setiap benda boleh dibeli dengan wang.

Semua ini akan membangunkan satu dunia baru bagi remaja-remaja kita. Dunia mereka adalah kelemahan jiwa, kesunyian, kekosongan jiwa dan kurang perhatian tetapi mewah. Lalu dengan kesunyian, kekosongan jiwa tetapi mewah itulah mereka mengolah dunia baru bagi mereka.

Mereka membangunkan peradaban baru di atas nilai-nilai baru. Mereka mengembangkan komuniti mereka sendiri di samping membina tembok-tembok pemisah antara kita dan dunia mereka. Mereka mendirikan bangunan-bangunan mencakar langit sebagai lambang kemegahan mereka; lalu hari ini kita menyaksikan ‘kejayaan’ demi ‘kejayaan’ yang mereka capai dalam pelbagai bidang; rempit, dadah, pergaulan bebas, zina, buang anak dan sebagainya mula menghiasi dada-dada akhbar. Mereka menceburi bidang-bidang baru untuk mencari diri dan apa yang disebuttkan sebagai kasih sayang dan kebahagiaan.

Mungkin kita rasakan tindakan mereka serba silap, salah dan menyeleweng dari jalan yang benar. Kita merasakannya salah kerana kita mengukurnya dengan nilai kita. Tetapi mereka mempunyai nilai mereka sendiri yang terbina dalam diri mereka sebagai kesan dari persekitaran jiwa dimana mereka membesar dan mengenal erti hidup dan kemanusiaan. ‘Nilai’ mereka mengatakan apa yang mereka lakukan itu betul, hebat dan dahsyat.

Oleh: Azmi Bahari
Sumber: http://www.haluan.org.my

    Print       Email
  • Published: 1942 days ago on April 28, 2012
  • By:
  • Last Modified: April 28, 2012 @ 9:12 am
  • Filed Under: Remaja & Cinta
  • Tagged With:

About the author

Editor

Editor-In-Chief

Leave a Reply

You might also like...

adam-hawa

Untukmu Adam dan Hawa

Read More →