Loading...
Anda di sini:  Laman Utama  >  Madrasah  >  Khutbah Jumaat  >  Current Article

Guru Mukmin Pemangkin Generasi Bertaqwa

By   /   May 17, 2012  /   No Comments

Khutbah Jumaat 18 Mei 2012: “Guru Mukmin Pemangkin Generasi Bertaqwa” Jabatan Agama Islam Selangor

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Muslimin sekalian, supaya kita sentiasa mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam erti kata yang sebenarnya, iaitu dengan melaksanakan
segala suruhan Allah dan Rasul-Nya, dan meninggalkan segala bentuk tegahan dan larangannya. Semoga kita memperolehi kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Sesungguhnya, hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang akan mendapat perlindungan Allah SWT semasa di Padang Mahsyar kelak.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Khutbah hari ini adalah bersesuaian dengan tajuk “Guru Mukmin Pemangkin Generasi Bertaqwa”. Kehidupan umat Islam pada masa kini, dipenuhi dengan berbagai bentuk cabaran memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh setiap anggota masyarakat dalam mendidik generasi muda. Pendidikan bermula dalam buaian hingga ke liang lahad. Ketika masih kecil ibu bapalah yang bertanggung jawab memberi pendidikan di rumah dan tugas tersebut dimantapkan oleh guru-guru sebaik sahaja kanak-kanak tersebut menjejakkan kaki ke sekolah. Dahulu!; tugas mendidik anak-anak ini merupakan tugas yang amat besar dan penting serta memerlukan kemahiran yang sesuai dengan perkembangan mereka.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Jika kita membuat perbandingan dengan zaman dahulu, tugas mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab ibubapa dan mereka dibantu oleh masyarakat sekitarnya. Peranan masyarakat pada masa itu
sangat penting kerana mereka saling bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Namun, hakikat yang berlaku pada masa kini amat berbeza. Penglibatan ibu bapa dan masyarakat semakin berkurangan
dalam mendidik anak-anak. Malah, tugas yang penting ini ini kelihatannya hampir diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Kesibukan sebahagian ibu bapa mencari rezeki menyebabkan ada di antara mereka seolah-olah menyerahkan sepenuhnya pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah.

Keadaan ini menjadikan tugas guru menjadi semakin penting kepada pembangunan diri anak-anak kita. Bermula daripada seawal jam 7.00 pagi sehinggalah 7.00 petang, yang mana anak-anak kita akan bersama dengan guru-guru mereka melakukan berbagai aktiviti di sekolah.

Kajian terbaru yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bahagian Pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2012 menunjukkan bahawa pengaruh guru-guru pendidikan Islam lebih kuat berbanding dengan pengaruh ibu bapa dalam aspek penghayatan akhlak pelajar-pelajar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Tugas guru dalam Islam adalah amat penting dan tidak boleh dipisahkan dengan tugas sebagai seorang pendakwah. Terdapat berbagai istilah yang dikaitkan dengan pendidik di dalam Islam yang dibincangkan oleh pakar-pakar pendidikan dalam Islam. Istilah ”muallim”, ”Muddaris”, ”muaddib”, ”mursyid” dan ”murabbi” yang kesemuanya itu merujuk kepada peranan dan penglibatan guru terhadap usaha-usaha membentuk para pelajar. Istilah-istilah tersebut bukan sahaja sekadar guru sebagai penyampai ilmu tetapi guru-guru yang cemerlang akan memberikan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak murid mereka sebagaimana mereka menyayangi anak mereka sendiri.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kehidupan umat Islam di dunia yang serba moden ini telah menyebabkan umat Islam semakin tercabar dengan pelbagai aspek kehidupan. Aspek akidah yang menjadi teras pegangan umat Islam juga
terancam dengan wujudnya berbagai fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Oleh itu, pendidikan merupakan kaedah yang terbaik dalam membendung masalah yang dihadapi oleh masyarakat
pada masa kini. Pendidikan dalam Islam bertujuan untuk membangunkan manusia menjadi insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Pendidikan yang sempurna akan terhasil jika manusia yang dididik mempunyai akhlak yang terpuji dan patuh kepada segala perintah Allah SWT. Ini memerlukan kepada satu sistem pendidikan berlandaskan kepada akidah Islamiah.

Dalam pelaksanaan pendidikan di sekolah, peranan semua guru adalah amat penting. Guru-guru yang mempunyai kesungguhan dan mempunyai keimanan tinggi akan dapat mendidik generasi Islam yang
menghayati ajaran Islam yang sebenar.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 102:

“Yang demikian itu ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadahlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) bahawa Dialah yang
memelihara segala sesuatu”.

Maka, matlamat untuk melahirkan generasi bertakwa adalah satu tugas utama yang perlu dilaksanakan oleh setiap pendidik. Tugas guru adalah penting kepada anak-anak kita kerana mereka bukan sahaja
memberikan ilmu pengetahuan, tetapi yang lebih utama mendidik dan membentuk akhlak mereka. Ketaqwaan kepada Allah serta akhlak yang baik adalah perkara yang penting untuk menjamin kehidupan manusia di dunia dan akhirat dan inilah yang akan menjadi pertimbangan ketika di akhirat sebagaimana sabda Rasulallah s.a.w.:

“Ada pun yang paling berat timbangan diatas neraca timbangan pada hari kiamat ialah taqwa kepada Allah SWT dan akhlak yang baik”.(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Di zaman globalisasi ini, dunia pendidikan semakin mencabar. Anakanak kita mudah terdedah dengan berbagai bentuk cabaran yang datang daripada berbagai arah. Penyalahangunaan teknologi maklumat, laman sosial, masalah ponteng, buli, zina, arak dan dadah telah mula berleluasadikalangan pelajar sekolah. Budaya hiburan yang melampau pada masa ini juga dilihat menjadi satu ancaman besar kepada generasi muda. Budaya hiburan negatif yang dipromosikan melalui media cetak dan elektronik terkini telah mencapai ke tahap yang membimbangkan. Labakan filem-filem dan berita-berita yang bercanggah dengan Islam telah menguasai minda masyarakat hari ini. Oleh itu, dakwah yang berterusan bagi mencegah, mengawal serta penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Tugas guru di sekolah tidak akan berjaya jika ibubapa dan masyarakat tidak membantu mereka semasa di luar sekolah. Tugas dakwah ini perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan bijaksana agar
matlamat dakwah yang dicita-citakan akan tercapai.

Sehubungan itu, dalam mencapai tujuan mendidik generasi muda, kita hendaklah lebih bijaksana dalam menyampaikan kebaikan kepada mereka. Konsep pendidikan yang bersepadu sebagaimana yang
dinyatakan di atas boleh dilaksanakan dengan kerjasama daripada semua pihak seperti berikut:

Pertama: Ibubapa hendaklah memberikan kasih sayang dan sokongan kepada semua aktiviti pendidikan yang dirancang oleh pihak sekolah. Mereka perlu membantu mengukuhkan pengajaran pendidikan Islam di rumah dan memantau amalan fardu `ain anak-anak mereka.

Kedua: Masyarakat juga perlu memberikan sokongan dan dorongan kepada aktiviti di sekolah seperti mengadakan gotong royong, program sempena hari kebesaran Islam seperti forum, ceramah dan kursus bersama-sama dengan pihak sekolah.

Ketiga: Institusi agama yang berhampiran seperti masjid dan surau perlu memberikan ruang kepada pihak sekolah untuk mengadakan aktiviti dakwah.

Keempat: Pihak berkuasa hendaklah membantu guru-guru dan sekolah dalam memantau aktiviti-aktiviti yang negatif berlaku diluar sekolah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai rumusannya, dengan berkat kesabaran dan kesungguhan guru-guru, maka ramai ahli masyarakat kini telah berjaya dalam bidang kerjaya hidup mereka seperti menjadi ulama, pendidik, pensyarah, guru, doktor, jurutera, usahawan, peguam dan petani yang berjaya. Malah, dalam membicarakan tugas guru yang mulia ini, sebagai ahli masyarakat yang mahu melihat generasi muda menjadi generasi yang bertaqwa, kita perlu memberikan segala sokongan kepada guru-guru yang berkhidmat mendidik anak-anak kita. Jika guru telah banyak berkorban masa, tenaga, wang ringgit mereka kepada anak-anak didiknya, maka kita perlu bersama-sama mendokong usaha murni mereka. Semoga anak-anak yang mereka dididik ini akan menjadi generasi yang bertakwa dan seterusnya menjadi manusia memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada agama dan ummah. Harapan kita agar anak-anak yang dididik guru-guru ini akan menjadi manusia yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah SWT.

“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.
(At-Tahrim : 6)

    Print       Email

About the author

Editor

Editor-In-Chief

Leave a Reply

  • RSS Dari Eramuslim.Com

  • Newsletter

You might also like...

khut-jum

Mukmin Dituntut Melakukan Amalan Yang Terbaik

Read More →