Loading...
Anda di sini:  Laman Utama  >  Fokus  >  Isu Semasa  >  Current Article

Krisis ekonomi ancam kepimpinan Eropah

By   /   May 13, 2012  /   No Comments

Perancis mendapat presiden baru selepas Nicolas Sarkozy tewas dalam pilihan raya negara itu. Kemenangan Francois Hollande, seorang calon sosialis mengulangi kesinambungan pemimpin berhaluan kiri, Francois Mitterrand yang menjadi presiden dari 1981 hingga 1995. Lebih 43 juta rakyat Perancis layak mengundi ketika ini. Dalam pengundian pusingan pertama pada 22 April lalu, Sarkozy tewas kepada Hollande, setelah mendapat 27.1 peratus undi berbanding Hollande yang memperolehi 28.6 peratus undi.

Dengan hanya undi dari luar negara sahaja yang bakal dihitung, Hollande meraih kemenangan 51.67 peratus undi berbanding 48.33 peratus bagi Sarkozy. Selepas pengumuman, Sarkozy dilaporkan berkata, “Rakyat Perancis telah membuat pilihan mereka … Hollande menjadi presiden Perancis dan dia mesti dihormati,” dalam nada penuh emosi sambil melambai tangan ke arah penyokongnya dan berharap penggantinya akan melakukan kejayaan.

Ucapan tahniah disampaikan oleh pemimpin Britain, David Cameron yang berikrar untuk bekerjasama bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Rakyat Perancis membuat pilihan di sebalik masalah besar Eropah ketika ini yang sedang bergelut dengan krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi di benua itu. Kekalahan Sarkozy dilihat sebagai isyarat kurang yakin rakyat terhadap kaedah dan usaha bagi mengatasi masalah ekonomi di Perancis. Kemenangan Hollande diharap bakal membawa perubahan besar kepada Perancis selaku negara utama dalam Kesatuan Eropah dan dapat mengimbangi kepimpinan Jerman yang semakin ketara dalam kesatuan itu khususnya menyelesaikan krisis hutang Greece.

Kemenangan ini merupakan rantaian bersambung yang berlaku di beberapa buah negara Eropah.

Sepanyol: Mariano Rajoy menggantikan pemimpin sosialis, Jose Luis Rodriguez Zapatero selepas rakyat negara itu merasai keperitan pemulihan ekonomi, di sebalik langkah-langkah rangsangan digubal, ia telah menghancurkan program penjimatan negara dan meningkatkan kadar pengangguran.

Italy: Mario Monti, bekas Pesuruhjaya Eropah menggantikan pemimpin yang lama berkhidmat dan penuh gosip Silvio Berlusconi. Pengunduran Berlusconi disambut meriah oleh pelabur kerana ketidakupayaannya merangsang pertumbuhan ekonomi dan menguruskan hutang negara.

Britain: David Cameron, pemimpin Parti Konservatif menewaskan Gordon Brown dari Parti Buruh untuk memimpin kerajaan campuran. Brown telah menjadi pemimpin kewangan selama satu dekad dan melepasi kitaran naik dan turun ekonomi namun, penggal perdana menteri telah pun berakhir untuknya.

Ireland: Brian Cowen, menjadi perdana menteri pada 2008 selepas menjadi menteri kewangan. Dia melepaskan jawatan selepas partinya gagal dalam pilihan raya 2011. Cabaran utamanya ialah berhadapan dengan krisis perbankan negara itu.

Greece: George Papandreou, ahli sosialis yang mendapat kuasa pada Oktober 2009 berikrar mengeluarkan negara itu dari krisis kewangan yang meruncing. Dua tahun kemudian, ketika krisis kewangan memuncak sejak Perang Dunia Kedua, timbalannya sendiri telah bertindak menumbangkannya selepas mencadangkan proses pemulihan ekonomi secara “bailout” tidak disenangi.

Portugal: Sebulan selepas Portugal memohon pelan penyelamatan 78 bilion euro, kerajaan pimpinan Jose Socrates ditendang keluar pada Jun 2011. Kesengsaraan Portugal berpunca dari lemahnya pertumbuhan ekonomi yang telah berlangsung selama satu dekad kerana kegagalan kerajaan memodenkan ekonomi di tengah-tengah persaingan dunia dan melambakkan lebih banyak hutang negara.

Denmark: Kerajaan berhaluan kanan hilang kuasa pada September tahun lepas kerana memperkenalkan langkah-langkah penjimatan di tengah-tengah krisis hutang. Kerajaan tersebut digantikan oleh campuran kerajaan berhaluan kiri.

Hanya dua negara yang tidak berhadapan dengan krisis kepimpinan ketika ini di Eropah. Romania dan Poland menunjukkan krisis kewangan yang dihadapi oleh negara-negara Eropah tidak semestinya menjejaskan kuasa pemimpin sedia ada. Presiden Romania, Traian Basescu dipilih semula dalam pilihan raya 2009 di sebalik penyusutan 7 peratus ekonomi dan menerima 20 bilion euro dalam pelan penyelamatan dari IMF, Bank Dunia dan Kesatuan Eropah.

Poland pula merupakan kisah kejayaan yang jarang dinikmati oleh negara Eropah lain. Ia adalah satu-satunya negara Eropah yang tidak mengalami kemelesetan ketika krisis global 2008-2009. Perdana menteri, Donald Tusk memenangi penggal kedua pilihan raya parlimen tanpa sebarang masalah.

Krisis ekonomi dilihat berkait rapat dengan pertukaran pemimpin negara Eropah. Kegagalan pemimpin menguruskan pemulihan ekonomi menjadikan rakyat benua itu tidak yakin pada idea dan langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan hutang negara masing-masing. Kekalahan Sarkozy menjadikan senarai pemimpin yang kalah dalam pilihan raya semakin panjang.

Zahir Zainudin of LangitIlahi.Com

    Print       Email
  • Published: 2045 days ago on May 13, 2012
  • By:
  • Last Modified: May 15, 2012 @ 10:18 am
  • Filed Under: Isu Semasa
  • Tagged With: ,

About the author

Editor

Editor-In-Chief

Leave a Reply

  • RSS Dari Eramuslim.Com

  • Newsletter

You might also like...

kahwin

Lelaki tak mau kahwin, kenapa?

Read More →